Ahad, 30 September 2007

Ketagih menghidu gam: Lapan tahun jadi ‘hamba’ Oleh ZAINUDDIN ZAIN, ASMIZAN MOHD SAMIRAN dan RAHMAT OTHMAN metahad@hmetro.com.my Kehadiran Ramadan atau Syawal tiada erti pada Razman PETALING JAYA: Usianya baru 21 tahun, tetapi gara-gara ketagih menghidu gam sejak berusia 13 tahun, masa depannya gelap, malah tidak keterlaluan dikatakan dia hanya menanti masa untuk dijemput ajal. Sepanjang tempoh lapan tahun lalu sehingga hari ini, gam ibarat makanan utama anak muda itu yang hanya mahu dikenali sebagai Razman dan kehadiran Ramadan, mahupun Syawal tidak lama lagi, juga tidak memberi makna kepadanya. Biarpun beberapa kali ditahan polis ketika asyik menghidu gam, Razman dibebaskan semula kerana sehingga hari ini tiada undang-undang khusus yang membolehkan penghidu gam dihukum atau dihantar ke pusat pemulihan. Akibatnya, Razman terus hanyut dalam dunianya, malah tanpa perasaan takut atau malu, dia kadangkala dengan selamba berjalan sambil menghidu gam di khalayak ramai di sekitar kawasan kediamannya di pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jalan Pekaka, Seksyen 8, Kota Damansara.Tidak mustahil, satu hari nanti hidup Razman mungkin berakhir seperti tiga rakan karib yang ditemui ‘mati secara mengejut’, dipercayai selepas menyedut gam secara berlebihan, berhampiran kawasan semak di atas bukit di antara Flet Sri Sabah dengan Jalan Loke Yew di Cheras, pada April, 2000.

Tiada ulasan: